Skip to main content

Perpustakaan Tunku Tun Aminah at a Glance


Universiti ini dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) yang ditubuhkan pada 16 September 1993. Maka pada ketika itu, perpustakaan juga dikenali sebagai Perpustakaan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP) pada tahun 1993.

Pada tahun 1996 nama perpustakaan telah ditukarkan kepada Perpustakaan Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) selaras dengan perubahan PLSP yang dinaiktaraf kepada Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO).

Pada tahun 2000, sekali lagi institusi ini diberikan status baharu sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO). Nama perpustakaan juga ditukar selari dengan pencapaian tersebut dan digelar sebagai Perpustakaan Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUITTHO). Pada ketika itu, bangunan perpustakaan telah diperluaskan sehingga boleh menyediakan ruang bacaan kepada 200 orang pengguna. 

Pada tahun 2004, Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar telah dibuka.

Bermula pada tahun 2006, Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUITTHO) telah diberi  status universiti penuh dan menukar namanya kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Maka sekali lagi perpustakaan berubah nama seiring dengan pencapaian universiti dan dikenali sebagai Perpustakaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 

Perancangan untuk membina bangunan baru perpustakaan telah diluluskan dan Majlis Pecah Tanah bangunan baru perpustakaan telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Zulkefli bin A. Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi pada 4 Julai 2007. Pembinaan bangunan 5 tingkat ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke sembilan (RMK-9) dengan melibatkan kos sebanyak RM42 juta. Pemaju dan arkitek yang terlibat adalah Pembinaan Hamid Abdul Rahman, Ekovest (JV) Sdn. Bhd. dan Juhari & Hashim Chartered Architects. Bangunan baru perpustakaan ini mempunyai keluasan 16,000 meter persegi dan mampu menampung lebih kurang 300,000 naskhah buku dan 3,000 orang pengguna pada satu masa. 

Pada tahun 2008, Perpustakaan Cawangan Kampus Bandar telah berpindah ke premis baharu. 

Bangunan baru Perpustakaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  telah mula beroperasi pada tahun 2010. Bangunan perpustakaan ini kemudiannya telah ditukarkan nama kepada Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Nama ini dipilih sebagai tanda penghormatan kepada puteri tunggal Sultan Johor iaitu YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim. 

Perpustakaan Tunku Tun Aminah mempunyai bangunannya yang tersendiri dan terletak di dalam kampus induk UTHM di Parit Raja. Bangunan perpustakaan ini berdiri gah menjadi mercu tanda UTHM sehingga kini. 

Bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah telah dimahsyurkan oleh Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Iskandariah pada 11 Jun 2013. Bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah pernah menajdi tumpuan kerana dikhabarkan menjadi perpustakaan terbesar di Asia Tenggara dan perkara ini turut dinukilkan di dalam Akhbar Kosmo pada ketika itu. 

Rekabentuk bangunannya menjadi daya tarikan utama bukan sahaja di dalam kampus malah di komuniti sekitar. Bangunan dengan rekabentuk silinder menjadi keunikan Perpustakaan Tunku Tun Aminah menjadi perpustakaan yang lain dari perpustakaan lain.